TAWASSUL MENURUT IMAM AL SYAUKANI

TAWASSUL MENURUT IMAM AL SYAUKANI

BAGIKAN

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia, 18 Januari 2011

Imam al-Syaukani adalah seorang lagi tokoh ulama yang sering menjadi rujukan sebahagian daripada mereka yang mendakwa mahu memperbaharui agama di zaman ini. Tawassul pula menjadi salah satu amalan yang dituduh sebagai terpesong dan menjadi penghalang kepada pembaharuan agama. Oleh itu wajarlah kita menyorot pandangan tokoh ini tentang tawassul.

Telah berkata al-Imam Syeikh Muhammad ibn Ali al-Syaukani di dalam risalahnya al-Dur al-Nadhid fi Ikhlas Kalimah al-Tauhid:

“Adapun bertawassul kepada Allah dengan perantaraan salah seorang daripada makhlukNya bagi suatu permohonan yang dituntut oleh seseorang hamba daripada Tuhannya, Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam telah menyatakan: “Sesungguhnya tidak harus bertawassul kepada Allah SWT melainkan dengan kemuliaan Nabi SAW, sekiranya hadith mengenainya adalah sohih.”

Berkemungkinan, yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasaei di dalam Sunannya dan juga al-Tirmizi dan disohihkannya oleh Ibnu Majah dan lain-lainnya: Bahawa seorang buta datang kepada Nabi SAW, lalu diajarkan dengan doa tawassul, maka beliau menyebut hadith tersebut.

Berkata Imam Syaukani: “Pada pandangan manusia tentang makna ini, terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama: Bertawassul ialah apa yang disebut oleh Umar al Khattab RA, sebagaimana katanya: “Kami apabila ditimpa musim kemarau, kami bertawassul dengan Nabi kami kepadaMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara Nabi kami (Abbas RA).” Hadith ini terdapat di dalam Sohih al Bukhari dan lain-lainnya.

Umar RA telah menyebut, bahawa mereka bertawassul dengan Nabi SAW semasa hidupnya supaya diturunkan hujan. Kemudian mereka bertawassul pula dengan bapa saudara Baginda SAW, Abbas RA selepas kewafatan Baginda SAW.

Tawassul mereka ialah permohonan supaya diturunkan hujan ketika Baginda SAW berdoa dan mereka juga berdoa bersamanya. Maka jadilah Baginda SAW sebagai wasilah mereka kepada Allah SWT dan Nabi SAW dalam hal seperti ini sebagai pemberi syafa’at dan orang yang mendoakan bagi mereka.

Pendapat kedua: Bertawassul dengan kemuliaan Nabi SAW boleh dilakukan tidak kira semasa hidup Baginda SAW dan selepas kewafatannya, begitu juga ketika keberadaannya dan ketiadaannya. Tidak tersembunyi lagi, bahawa telah thabit keharusan bertawassul dengan Baginda SAW semasa hayatnya. Begitu juga bertawassul dengan selain Baginda SAW selepas kewafatannya berdasarkan ijma’ sahabat iaitu ijma’ sukuti, lantaran kerana tiada seorang dari kalangan mereka yang mengingkari ketika Sayyiduna Umar RA bertawassul dengan Sayyiduna ‘Abbas RA.

Pada pendapat saya sendiri, (Dr.Sayyid Muhammad `Alawi al-Maliki, empunya kitab Mafahim) sebenarnya tidak ada jalan untuk membataskan keharusan bertawassul hanya dengan perantaraan Nabi SAW sahaja, sebagaimana yang didakwa oleh Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Hal ini disebabkan dua perkara:

1. Hujah ijma’ Sahabat RA, sebagaimana yang kami kemukakan di atas.

2. Hakikat bahawa bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan orang-orang yang mulia dan berilmu, sebenarnya adalah bertawassul dengan amalan soleh dan keistimewaan mereka yang mulia, kerana mereka tidak menjadi mulia melainkan dengan amalan-amalan yang telah mereka lakukan.

Maka jika seseorang berkata, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadaMu dengan orang alim fulan,” maka tawassul ini dilakukan kerana keilmuan orang tersebut. Bukankah telah thabit di dalam hadith Sohih al Bukhari dan Sahih Muslim dan lain-lainnya, bahawa Nabi SAW menceritakan tentang tiga orang yang terperangkap di dalam gua akibat tertutup dengan batu besar. Masing-masing bertawassul dengan amalan mereka yang terbesar hingga menyebabkan batu besar itu terangkat. Sekiranya bertawassul dengan amalan yang mulia tidak diharuskan atau pun dianggap sebagai perbuatan syirik sebagaimana sangkaan orang-orang yang keras dalam bab ini seperti Ibnu Abdul Salam dan orang-orang yang mengikut pendapatnya, sudah pasti permohonan ketiga-tiga orang itu tidak dimakbulkan dan Nabi Muhammad SAW juga tidak akan berdiam daripada mengingkari perbuatan mereka selepas menceritakan tentang kisah mereka.

Maka dari sini, dapatlah diketahui bahawa dalil-dalil yang digunakan oleh orang-orang yang menegah daripada bertawassul dengan para Nabi dan orang-orang soleh berdasarkan firman Allah di bawah, bukanlah dalil untuk menidakkan tawassul ataupun hujjah yang menunjukkan ke atas larangan daripada bertawassul, bahkan ia termasuk dalam konsep menggunakan dalil tidak kena pada tempatnya dan terkeluar daripada medan perbahasan:

Sekiranya orang-orang musyrik mengatakan:

“Kami tidak menyembah mereka (sembahan selain Allah) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya.” (al-Zumar: 3).

Jelas menunjukkan, bahawa mereka menyembah berhala-berhala untuk tujuan tersebut. Sedangkan orang yang bertawassul kepada Allah dengan seorang alim misalnya, tidak menyembah orang alim tersebut, tetapi kerana dia mengetahui bahawa orang alim tersebut mempunyai keistimewaan di sisi Allah, iaitu keistimewaan ilmu. Maka dia bertawassul dengan orang alim tersebut kerana keistimewaannya.

Demikian juga firman Allah: “Maka janganlah kamu menyembah seseorang (di dalam masjid-masjid) di samping menyembah Allah.” (al-Jin: 18).

Ayat ini mengandungi larangan daripada menyeru (menyembah) selain Allah, seperti seseorang berkata, “Wahai Allah! dan Wahai Fulan!.” Sedangkan orang yang bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan orang alim misalnya, tidak menyembah atau memohon melainkan kepada Allah, kerana dia hanya bertawassul dengan amalan soleh seseorang hamba Allah sebagaimana yang dilakukan oleh tiga orang yang terperangkap di dalam gua akibat pintu gua tertutup dengan batu besar bertawassul dengan amalan soleh masing-masing.

Demikian juga firman Allah yang disebutkan di dalam surah al Ra’d ayat 14, “Hanya bagi Allah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatupun bagi mereka.” Orang-orang Musyrik yang disebut dalam ayat tersebut memohon kepada berhala-berhala yang tidak akan memaqbulkan permintaan mereka, bahkan mereka tidak menyembah Tuhan yang sebenarnya yang dapat memustajabkan doa mereka. Sedangkan orang yang bertawassul dengan orang alim umpamanya, tidak memohon selain kepada Allah, dan tidak menyembah yang lain bersama Allah.

Setelah kita mengetahuinya, maka kita seharusnya tidak lagi perlu ragu-ragu atau bimbang untuk menolak dalil-dalil yang digunakan oleh orang yang menegah daripada bertawassul. Dalil-dalil mereka sebenarnya tidak relevan dan tidak termasuk dalam perbahasan tawassul.

http://ysofaklforms.blogspot.com/2011/01/tawassul-menurut-imam-al-syaukani.html

TINGGALKAN KOMENTAR