KEKAFIRAN SYI’AH MEYAKINI ALLAH BESIFAT BADA’

KEKAFIRAN SYI’AH MEYAKINI ALLAH BESIFAT BADA’

BAGIKAN

Di antara Aqidah Syiah yang sungguh menyesatkan ialah Aqidah Bada’. Aqidah ini juga telah dipopularkan oleh Ibn Saba’.

Bada’ bermakna:

(a) Nyata atau jelas sesuatu setelah tersembunyi seperti yang termaktub dalam firman Allah:-

“وبدا لهم من الله ما لم يكونوا يحتسبون”

“Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang tidak pernah terfikir oleh mereka” (Surah Az-Zumar Ayat 47)

(b) Timbul fikiran baru tentang sesuatu setelah melihat keadaan yang berlainan dari apa yang ada dalam pengetahuan seseorang sebelumnya. Ini terdapat dalam firman Allah:-

” ثم بدا لهم من بعد ما رأو الأيت ليسجننه حتى حين”

“Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka mesti memenjarakannya hingga ke suatu masa” (Surah Yusuf , Ayat 35)

Kesimpulannya Bada’ bererti jahil tidak mempunyai ilmu yang menyeluruh. Golongan Syiah mempercayai Allah bersifat dengan sifat al-Bada’.

Di dalam al-Kafi terdapat satu riwayat yang dikemukakan oleh al-Kulaini dari ar-Rayyan Bin as-Salt, dia berkata: “Aku mendengar ar-Ridha a.s berkata: “Tidak ada seorang pun nabi yang diutus Allah melainkan ia membawa ajaran tentang haramnya arak dan ajaran yang mengakui Allah bersifat dengan al-Bada’.” ( al-Usul Min al-Kafi jilid 1 hal.148)

Hakikat Bada’ ini diuraikan oleh satu riwayat lain dengan lebih jelas lagi, iaitu riwayat yang dikemukakan oleh al-Kulaini juga dari Abi Hasyim al-Ja’afari katanya: “Pernah aku berada di samping Abi al-Hassan a.s. sepeninggal anaknya Abu Ja’afar. Ketika itu aku berfikir di dalam diriku dan mau menceritakan kepadanya apa yang terlintas di hatiku. Seolah-olah Abu Ja’afar dan Abu Muhammad dalam keadaan ini seperti Abu al-Hassan bin Musa dan Ismail bin Ja’afar bin Muhammad. Kisah kedua-duanya sama kerana Abu Muhammad yang diharapkan (menjadi Imam sepeninggalan Abu Ja’afar). Tiba-tiba Abu al-Hassan menghadap ke arahku sebelum lagi aku menceritakan isi hatiku kepadanya, terus dia berkata: “Ya, Wahai Abu Hasyim memang telah berlaku kepada Allah berhubung dengan Abu Muhammad sepeninggalan Abu Ja’afar apa yang Ia (Allah) tidak mengetahui sebelumnya sebagaimana telah berlaku kepada Allah tentang Musa sepeninggal Ismail. Perkara ini memang seperti apa yang terlintas di hatimu walaupun tidak disenangi oleh orang-orang yang sesat. Abu Musa adalah anakku yang menjadi pengganti sesudahku karena padanya ada pengetahuan yang diperlukan dan bersamanya ada alat Imamah.” (al-Usul Min al-Kafi jilid 1 hal: 327).

An-Naubakhti menyebutkan bahawa Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya dan beliau telah mengisyaratkan kepadanya semasa hidup, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata: “Tidak pernah berlaku kepada Allah (al-Bada’) berhubung dengan sesuatu sebagaimana berlaku kepadanya berhubungan dengan Ismail anakku.” (Firaq as-Syiah hal. 84).

Untuk menguatkan lagi aqidah al-Bada’ ini golongan Syiah mengemukakan riwayat yang kononnya berasal daripada Muhammad al-Baqir bahawa Nabi Luth a.s. juga bimbang akan berlaku Bada’ pada Allah sehingga Beliau tidak sabar lagi meminta para malaikat yang diutus untuk menyiksa kaumnya supaya menyegerakan penyiksaan terhadap mereka sebelum berlaku perubahan pada kehendak Allah karena sesuatu sebab yang tersembunyi kepadaNya sebelum itu dan baru nyata kemudian setelah berlaku sebab itu (al-Bada). Inilah dialog Nabi Luth dengan para Malaikat yang tersebut di dalam riwayat itu:-

Luth berkata kepada mereka: “Wahai utusan-utusan Tuhanku, apakah perintah Tuhanku kepada kamu terhadap mereka?” Para Malaikat menjawab: “Ia memerintah kami supaya menimpakan azab atas mereka pada dinihari nanti.” Nabi Luth berkata: “Aku ada keperlua denganmu.” Mereka bertanya: “Apakah hajatmu itu?” Nabi Luth berkata: “Kamu timpakanlah azab atas mereka sekarang juga karena aku bimbang akan berlaku Bada’ kepada Tuhanku tentang mereka.” Para malaikat berkata: “Wahai Luth! Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab atas mereka itu ialah Subuh, bukankah Subuh itu sudah hampir?” (al-Furu’ Min al-Kafi Jilid 5 Hal: 546).

Al-Bada’ mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam aqidah Syiah sehingga mereka menganggapnya sebagai pernyataan ubudiyyah terhadap Allah yang tidak ada tolok bandingnya. Mereka meriwayatkan dari Muhammad al-Baqir bahawa beliau berkata: “Tidak ada satu pun pernyataan ubudiyyah kepada Allah yang menyamai al-Bada’.” (al-usul Min al-Kafi Jilid 1 hal: 146).

Darip Ja’afar as-Sadiq pula mereka meriwayatkan bahawa beliau berkata: “Tiada suatu pun cara pengagungan terhadap Allah yang menyamai al-Bada’.” (Ibid).

Dari Ja’afar as-Sadiq juga, mereka meriwayatkan bahawa beliau berkata: “Sekiranya manusia mengetahui pahala yang terdapat pada mengatakan dan mempercayai al-Bada’ tentulah mereka tidak jemu-jemu mengatakannya.” (al-Usul Min al-Kafi Jilid 1 hal: 148).

Lihatlah bagaimana Syiah menghubungkan sifat jahil kepada Allah s.w.t dan menganggapnya sebagai puncak pernyataan ubudiyyah kepada Allah sedangkan Allah s.w.t telah berfirman:-

” وأن الله قد احاط بكل شيء علما”

“Dan sesungguhnya Allah ilmunya meliputi segala sesuatu”. (al-Talaq Ayat 12).

Firman Allah s.w.t:-

” والله بكل شىء عليم ”

“Allah Maha mengetahui tentang segala sesuatu”. (Surah An Nisa’ Ayat 176)
Firman Allah s.w.t:-

” إن الله لا يخفى عليه شىء في الأرض ولا في السمآء”

“Sesungguhnya tidak ada satu pun yang tersembunyi kepada Allah baik di bumi mahupun di langit”. (Surah Ali Imran Ayat 5).

Firman Allah s.w.t:-

” هو الله الذى لآاله إلا هو عالم الغيب والشهادة هو الرحمن الرحيم”

“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang maha pengasih lagi maha penyayang”. (Surah al-Hasyr ayat 22).

TINGGALKAN KOMENTAR